Mahu tahu tentang gadisBunga?

Kengkawan

What makes your day?

Entry tertunggak 1: Pangkor & Taiping. :D
Entry tertunggak 2: Langkawi
Entry tertunggak 3: Kelantan

*

gadisbungablog@gmail.com

NI tabung nak beli senapang~

Facebook Share

Saturday, October 30, 2010

OBBK: Sabtu yang seronok

Ikan kerisi (Nemipterus spp.)
Lokasi: Pasar tani Shah Alam

Kenapa seronok?
Sebab tidak perlu ke pejabat.

Kenapa tidak perlu ke pejabat?
Sebab mahu pergi ke Kuantan.

Kenapa mahu pergi ke Kuantan?
Sebab mahu hadiri kenduri kahwin teman rapat

Kenapa mahu hadiri kenduri kahwin teman rapat?
Sebab seronok.

Kenapa seronok?
Sebab tidak perlu pergi ke pejabat.
.
.
.
.
.
.
.
Jangan marah ya.... (senyum)

P/S: PMS atau gembira keterlaluan disebabkan Oktober bakal berakhir? (Ketawa)

Friday, October 29, 2010

OBBK: Katak

Dia baik kerana dia sahaja yang tidak melompat sewaktu GB mengambil gambarnya.
Yang  lain-lain...huh!
 (sila abaikan kerabunan anda untuk melihatnya secara jelas...maklum sajalah...{ketawa})

Teringat lama dahulu sewaktu di Sungai Pusu...

GB sangat suka haiwan comel ini. Mesra dan tidak busuk. Kawan-kawan pun ramai yang memanjakan GB dengan hadiah bertema katak setiap kali hari jadi. Kebanyakan koleksi yang GB ada pun hasil ingatan dari teman-teman. Gembira tidak terkata.
.
.
.
.

Sewaktu matrikulasi di Petaling Jaya pula, di situ lah GB dapat katak pertama. Masih ingat lagi soalan yang ditanya melalui perantaranya, "Mahu hadiah apa?"

GB jawab, "Katak".

Malam esoknya GB dapat. Simpan sampai sekarang. (Senyum meleret)

P/S: 10 tahun yang lalu cenderahati berupa haiwan katak itu sangat-sangat susah untuk dicari. Tapi dia mampu cari sampai dapat. (senyum lagi)

Thursday, October 28, 2010

OBBK: K.E.R.J.A

Kertas pesanan menu yang akhirnya menjadi medium untuk bekerja 



Di pejabat: Kerja
.
Di dalam kereta: Kerja
.
Di restoren: Kerja
.
Di meja makan: Kerja


P/S: Bila Oktober mahu berakhir ni?

Wednesday, October 27, 2010

OBBK: Kenapa GB Tidak Berkahwin? - Entri Berisiko Episod 3

Warna alam adalah terapi terbaik
(Gambar matahari terbenam, diambil di Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke arah Selatan)
Ini cuma cerita lanjutan tentang kenapa GB tidak belum mahu berkahwin sampai sekarang walau hakikatnya GB sudah punya sedikit cita-cita untuk berkahwin.

Sebenarnya, apabila ditanya soal kahwin, GB akan diresapi suatu perasaan yang pelik. Contohnya:
  • Pening hampir pitam
  • Susah bernafas
  • Panik
  • Takut
  • Tiba-tiba naik marah
  • Akhirnya mengelak terus daripada berbicara soal itu.
GB tidak pasti jintan manis apakah yang sudah merasuk diri GB sampai GB takut betul untuk berkahwin. Sedangkan keluarga GB biasa-biasa sahaja. Setakat sedikit salah faham antara bunda dan ayahanda itu bagi GB adalah rencah biasa dalam rumahtangga. Tapi untuk menempuhi sendiri alam itu, GB benar takut.

Akhirnya GB buat sedikit analisa tentang punca perasaan takut yang mendalam dalam diri GB. Ini adalah dari GB sendiri. Ketepikan dahulu punca dari pihak bakal suami yang belum ada itu. Antara yang dapat GB senaraikan adalah:
  • GB banyak ketakutan - takut tidak dapat menyesuaikan hidup bersama seorang lelaki di dalam rumah yang sama, apatah lagi jika lelaki itu adalah seseorang yang tidak pernah GB bayangkan
  • GB takut tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan baik - memasak, mengemas, menguruskan rumahtangga - sedangkan sekarang ini bekal sarapan pagi pun bunda GB yang sediakan
  • Takut tidak dapat menunjukkan hormat yang sewajarnya kepada suami walaupun hakikatnya GB hormat kepadanya- kerana GB adalah seorang yang banyak cakap, takut nanti tersalah tutur bicara lantas derhaka pula jadinya 
  • GB kurang manja - mungkin kerana GB memang tidak pernah bermanja-manja dengan sesiapa - takut nanti suami bosan pula
  • Takut GB tidak dapat membahagikan masa antara kerjaya dan rumahtangga - GB tidak mengatakan yang GB lebihkan kerjaya tetapi jika ada perkara ad-hoc seperti mana yang selalu terjadi sekarang, bagaimana pula?
  • Takut GB tidak punya masa berblog lagi..(abaikan...ini cuma alasan palsu)
Adakah kerisauan GB sebenarnya tidak berasas sama sekali? 

P/S: Untuk makluman, walaupun takut, tetapi GB masih tetap bercita-cita untuk kahwin ya... (ketawa gatal)

Tuesday, October 26, 2010

OBBK: Sebenarnya GB tidak sabar menanti Oktober berakhir

Suka tengok je. (Senyum)
Sebenarnya GB mahu tulis tentang perkara lain, tapi bila tengok si gebu di atas, GB teringat pula kepada beberapa blogger ini:

KucingGorengGemok KucingOrenGemok. - Sebab dia memang kucing yang kuat makan pun.

Myqza. - Insan paling penyayang kucing dalam blogger list GB.

Fatin.- Dia suka Garfield. Kucing gemuk yang pemalas tapi kuat makan. (Eh kenapa macam sama dengan KucingGorengGemok KucingOrenGemok?)

Mas - Suka kucing. Tapi alah. Bukan alah sikit-sikit. Alah teruk. Tapi suka. (ketawa)
.
.
.
.
Lain entri sajalah GB tulis tentang apa yang sebenarnya GB mahu tuliskan itu.

P/S: Lama lagi rasanya baru Oktober berakhir. GB mahu menulis dalam bahasa penjajah pula. (ketawa)

OBBK: Tanpa seurat benang

Maaf andai ada yang marah kerana terpaksa mengeksploitasikan bentuk tubuh ayam ini demi mencapai maksud  
Tajuk tiada kaitan dengan cerita. 

Cuma, GB mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada DrSinga kerana telah membelanja GB makan nasi ayam pada tengah hari Isnin yang nyaman. Secara seriosa, beliau memang kelihatan menawan dalam rona merah jambu. (ketawa).

P/S: Disebabkan Isnin itu sup gearbox sudah kehabisan, lain kali kita serbu awal sikit ya akak.... (batuk berdehem-dehem)

Monday, October 25, 2010

OBBK: GB Mahu Kahwin

Tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya.
(Lokasi: Taman Tasik Shah Alam)
Tapi belum ada calon. 
.
.
.
.
.
.

Sementara GB belum bertukar fikiran...

P/S: Harap-harap tetaplah pendirian GB kali ini.

Saturday, October 23, 2010

OBBK: Bagaimana mahu hidup beratus-ratus tahun?

Ke mana hala tuju anda hujung minggu ini? Ke utara, selatan, timur, atau barat?
Pagi ini GB ada terbaca di blog Kak CT. Tentang pendermaan organ. 

Disebabkan itu GB terpanggil untuk mengulas sedikit tentang perkara ini. Melalui pembacaan, dalam Islam, hukum mendermakan organ adalah harus. Anda boleh google sendiri atau jika malas baca sahaja di sini

Malah untuk jangka panjang isu ini mungkin akan meningkatkan kesihatan kita. Kesihatan pula adalah mahkota orang mukmin. Mahu tahu kenapa GB berkata demikian?
.
.
.

Apabila kita sudah berikrar untuk mendermakan organ, maka sudah semestinya kita akan menjaga kesihatan diri supaya organ dalaman juga turut berada dalam keadaan baik terutamanya apabila mahu digunakan kelak. Dan tidak salah juga jika kita membuat permintaan agar penerima organ nanti menjaga kesihatannya dengan elok supaya organ yang sudah diterimanya nanti mungkin boleh didermakannya kepada orang lain pula. 

Pada pendapat GB yang tidak arif dalam ilmu perubatan malah takutkan doktor ini, perkara tersebut tidak mustahil. Atau mungkin ada di antara kawan-kawan doktor GB yang boleh beri fakta sebenar tentang perkara ini?

Katakanlah boleh, maka organ kita akan berkhidmat untuk tubuh orang lain pula selepas itu. Dan mungkin juga untuk orang selepas itu lagi. Dan lagi. Dan lagi. Jadi, tidak mustahil untuk kita terus hidup (di dalam tubuh orang lain) walaupun zahirnya kita sudah lama menjadi tanah bukan?

Sekadar pandangan peribadi.

Selamat berhujung minggu.

P/S: Tubuh badan kita pinjaman Tuhan semata-mata. Jangan zalimi.

Friday, October 22, 2010

OBBK: Kisah bulu mata

Bulu mata berguguran. Habis botak mata GB.

GB punya bulu mata biasa-biasa sahaja. Tidak lebat pun. Tapi selalu gugur. Padahal GB sudah lama tidak mengenakan maskara kerana malas hendak mencucinya sewaktu perlu. Tapi bulu mata GB tetap gugur juga. Botaklah kalau terus-terusan begini!

Sebenarnya GB punya banyak perkara yang mahu dituliskan. Tetapi GB hanya tulis ringkasannya terlebih dahulu supaya dapat dijadikan panduan entri pada minggu hadapan. Antaranya adalah:
  1. Kisah GB yang tidak berkahwin episod 3
  2. Cara-cara menegur orang yang berketiak busuk
  3. Bukan tahniah, tetapi terima kasih
  4. Antara ego, maruah, dan perasaan
  5. Tabiat buruk (lagi) pemandu di Malaysia
Untuk cerita penuh setiap satu daripadanya, nantikan minggu hadapan ya.

P/S: Cemburu dengan orang yang berbulu mata lebat! (senyum)

OBBK: Muka dan bawah lengan sama penting

Struktur dalaman bumbung surau di Hentian R&R Bukit Gantang
Lokasi: Masjid

Ini adalah senario biasa yang mungkin remeh pada sesetengah orang, tapi sangat penting untuk diambil perhatian.

Ada sekumpulan gadis. 
Comel-comel belaka. 
Berpakaian sopan,.
Sejuk mata memandang. 

Rasanya kebanyakan bakal-bakal ibu mertua sememangnya suka dengan gadis-gadis sebegini. 

Tetapi....ramai di antara mereka ada bau

Faham tak?

Kalau tidak faham juga, bau tersebut berpunca dari ketiak bawah lengan mereka yang tidak 'dijaga'. Bau tidak bagus ini sangat mengganggu para jemaah lain yang mahu mengerjakan solat. Bau ini akan mencalarkan imej mereka yang berwajah comel ini apabila melintasi orang lain juga.

Sedangkan...
.
.
.

Allah sukakan keindahan. 

Nabi sukakan wangi-wangian.

P/S: Jangan bagi alasan itu dan ini. Tidak perlu wangi kalau mereka tidak mahu, tetapi tolonglah jangan busuk. Sekian.

Thursday, October 21, 2010

OBBK: Damai di Pusara

Plumeria obtusa - White frangipani
Because of it's fragrant all year flowering feature, frangipanis can be easily found and associated with cemeteries.
(Location: Alor Setar, Kedah, Malaysia)
Selasa lepas sewaktu GB berada di kawasan tanah perkuburan untuk upacara pengebumian nenda saudara, GB dapat merasai suatu ketenangan yang aneh di situ.

Aman...

Redup...

Banyak bunga...

Harum...
.

Cuma ada banyak nyamuk.
.
.
.

GB suka perasaan itu.

Jadi GB tidak faham kenapa ada orang yang takut sangat dengan kubur. Bukankah itu destinasi terakhir kita di dunia?

Kawasan perkuburan sepatutnya dirapati untuk menginsafkan diri, bukan untuk kita hindari dan sekadar menjadi bahan cerita-cerita momok (yang menjadi punca kemunduran orang Melayu Islam)

P/S: Dan satu lagi, kawasan kubur orang Islam sepatutnya diperindahkan lagi. Malulah dengan orang Cina dan Kristian. Lihat sahaja betapa kemas dan bersih kubur mereka.

OBBK: Singa yang baik hati

Waiting space at Dr Singa's clinic
(Location: Taman Sri Manja, Old Klang Road, KL, Malaysia)

Pada suatu masa dahulu.....eh silap.
.
.
.
.
Minggu lepas GB demam mengejut lagi. Pukul 11 pagi panas menggigil sampai tidak mampu buat kerja langsung. Terfikir untuk ambil MC tetapi GB tidak mampu memandu dalam situasi begitu. Terus mengadu di mukabuku...

Tiba-tiba dapat pesanan ringkas. Dari akak DrSinga. Katanya, kalau mahu MC datanglah ke klinik. Terus sahaja bersemangat kerana ada yang ambil berat. (ketawa)

Petang juga baru GB pergi ke kliniknya. Walaupun ketika itu akak DrSinga tiada, tetapi GB redah sahaja. Yang penting MC. Dan ubat. (walaupun antivirus antibiotiknya GB tidak habiskan) Dan air percuma. (ketawa lagi).

Kalau mahu tahu apa air percuma yang GB maksudkan, cubalah demam. Dan pergi klinik DrSinga. Dan DrSingalah singa paling baik pernah GB kenal.

P/S: Berbaloi-baloi. (ketawa lagi kuat-kuat...maaf, tengah weng)

Wednesday, October 20, 2010

OBBK: Perjalanan Akhir

Our final destination
(Location: Alor Setar, Kedah, Malaysia)
Pukul 5 pagi semalam, ayahanda GB mendapat panggilan yang mengejutkan dari saudara mara di Kedah. Dan tepat pukul 6.30 pagi, GB memandu membawa bunda dan ayahanda pulang ke kampung di Alor Setar.

Nenda saudara GB yang menjaga bunda GB sedari kecil telah pergi mengadap Illahi. (untuk makluman nenda GB telah pergi sedari bunda GB berumur 4 tahun lagi).

Menziarahi jenazah,  mengucup dahinya yang sejuk sebelum wajahnya ditutup dengan kain kafan dan menghadiri pengebumiannya membuatkan GB insaf. Hidup kita berada di dalam tangan-Nya, tidak pernah terlepas walau sedetik pun. 

Dan kira-kira pukul 10.30 malamnya, kami sampai semula di Subang.

Hidup perlu terus walau dalam kesedihan.

'DaripadaNya kita datang, kepadaNya lah kita kembali'

P/S: Semoga keinsafan ini berpanjangan. Syukur kepada Allah kerana GB masih diberi peluang untuk berbakti kepada bonda dan ayahanda.

Monday, October 18, 2010

OBBK: Kenapa GB Tidak Berkahwin? - Entri Berisiko Episod 2

Jika dia tahu betapa besar cabaran hidup yang mendatang,
dia tidak akan mahu jadi dewasa
Sabtu lepas, di sebelah malamnya, GB berjumpa dengan seorang teman. Dari cara dia mengajak GB berjumpa, GB sudah tahu ada kegundahan di dalam hatinya. Selepas mendapat izin dari Bunda dan Ayahanda, GB keluar.

Sangkaan GB tepat. Perjumpaan kami disulami sesi meluahkan perasaan secara lebih dalam dari hati ke hati. Banyak juga cerita dan rahsia yang akhirnya terbongkar tanpa kami sendiri sedari.

Antara yang paling menarik pada malam itu adalah kesimpulan kasar yang kami buat: Wanita yang lahir pada bulan Januari kebanyakannya lambat sedikit jodohnya. (ketawa). Nanti GB bagitahu serba sedikit punca kami berkata begitu ya. (ketawa lagi)

P/S: Teman GB itu adalah seorang wanita juga, jadi hentikan sebarang spekulasi awal (jika ada ya..). Terima kasih.

OBBK: 'Kamu pengasuhnya ya?'

Irizz, comfortably cuddled by her mom
(Location: Bangsar, KL, Malaysia) 
Sabtu lepas selepas separuh hari di pejabat, GB temankan sahabat baik GB sejak 11 tahun lalu berurusan di klinik gigi di Bangsar. Kebetulan bayinya, Irizz, yang baru mahu menjangkau usia 4 bulan turut dibawa bersama, jadi dapatlah GB mengasuhnya sebentar sementara bundanya berada dalam bilik rawatan. Untuk makluman, sahabat GB ini berazam untuk memberikan susu badan penuh kepada Irizz secara ekslusif untuk tempoh dua tahun. Cerita beliau ada tercatat di sini.

Ramai juga orang yang sedang menunggu giliran pada hari itu. Maklumlah...Sabtu. 

Di ruang menunggu ada seorang makcik yang datang untuk rawatan juga bersama anaknya. Peramah. Atau lebih tepat lagi, banyak mulut. Sehingga jadi tidak relevan dengan suasana.

Mungkin kerana geram tidak dapat mendukung bayi selepas GB beri alasan 'saya tak pasti ibunya benarkan atau tidak', terus sahaja makcik tersebut berkata,'Oh...masa mak budak ni pergi kerja, kamulah pengasuhnya ya?'

GB cuma senyum.

P/S: Tahap kecerdasan minda boleh dilihat melalui cara percakapan kita.

Sunday, October 17, 2010

OBBK: Kenapa GB Tidak Berkahwin? - Entri Berisiko Episod 1

Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian
(Gambar diambil di Taman Tasik Shah Alam pada 101010)

Kenapa GB belum mahu berkahwin lagi? 

Jawapan paling mudah dan selamat, sudah tentulah kerana jodoh belum tiba.

Tetapi...bunda GB cakap tanpa usaha manakan mungkin apa yang dinanti akan datang bergolek...

Ayahanda pula? Hanya senyum dan cakap, 'anakanda GB belum mahu sahaja bukan? 
Bukannya tidak mahu langsung bukan?'

Adik-adik cakap, GB terlalu tegas.

Kawan-kawan cakap, GB memilih sangat.

Majikan cakap, kurangkanlah sedikit kriteria yang GB mahu...
.
.
.
.
.

Yang sudah cuba memikat, ada yang tidak kenal erti putus asa (mungkin) tapi GB tidak tahu sampai bila.

Ada yang berlalu juga akhirnya.

Yang sedang ingin memikat, GB ada satu nasihat.

GB bukanlah gadis yang terlalu tinggi keinginan dan angan. 
Cuma GB sudah terlalu immune. (maaf tidak tahu istilah Bahasa Melayunya)
Atau keliru.
Atau memang kurang berperasaan.

P/S: GB hanya senyum.

Saturday, October 16, 2010

OBBK: Ikan Busuk Bahana Mukabuku

Sambil menunggu Cik Ungu habis dibelai
Suatu pagi dalam minggu ini juga sewaktu GB sedang bersiap hendak ke pejabat, bunda GB mengamuk kerana ikan tongkol yang sepatutnya disimpan di dalam peti sejuk terbiar sahaja di luar sejak semalaman. 

Busuk sudah ikan yang sepatutnya jadi lauk untuk hari itu.

Puncanya adalah kerana adik GB yang nombor 4 itu tidak bersegera menyimpan ikan tersebut di dalam peti sejuk  seperti disuruh kerana asyik bermukabuku.

Orang Malaysia. Macam itu lah… 

P/S: GB perlu dipisahkan dari pejabat untuk seketika. Tapi belum tahu caranya.

Friday, October 15, 2010

OBBK: Hidup di dalam tong sampah

Dia tahu apa yang dia suka
(Gambar diambil di Taman Tasik Shah Alam pada 101010)
Mulai entri ini hinggalah habis bulan Oktober, tajuk bagi entri-entri GB akan dimulakan dengan OBBK yang membawa maksud Oktober Bulan Bahasa Kebangsaan. Tengoklah kalau-kalau GB akan terus suka berbahasa kebangsaan untuk entri selepas Oktober nanti. (senyum)
.
.
.

Pada suatu malam

GB sedang menunggu lampu hijau di satu simpang di Taman Desa. Kelihatan sebuah kereta Gen2 hitam berplat Perak yang pemandunya sedang aktif membaling objek keluar dari kenderaannya. Kertas dan plastik. Bukan sekali, tapi dua kali. Panas hati tidak terkata sampai mahu saja GB langgar kereta itu, tapi malangnya akhirnya ia bergerak menuju ke susur ke Cheras manakala GB pula ke arah Petaling Jaya (alasan)

Sudah banyak kali GB jumpa insiden sebegitu. Macam-macam jenis sampah sarap pernah GB lihat dibaling keluar dari kenderaan. Dari sekecil-kecil tisu dan kulit rambutan sehinggalah ke sebesar-besar tin minuman dan botol mineral 1.5 liter! Gila!

Maaf. GB memang sangat-sangat marah dengan sikap sebegitu. Jalan raya dan alam sekitar bukan tong sampah. GB pernah menegur seseorang kerana sikap sesuka hati membuang apa sahaja di mana sahaja. Tong sampah ada bukan? Kalau belum jumpa, sediakanlah plastik untuk diisi dengan sampah-sampah anda sementara belum berjumpa dengan tong sampah. Bukannya susah pun!

Sikap tanggungjawab perlu ada dalam diri. Jangan sampai suatu hari nanti kereta sendiri tenggelam di dalam banjir kilat yang berpunca daripada botol yang anda buang itu menghalang laluan keluar air. Ingat. Alam kita ada jiwa.

P/S: Gaya hebat tidak berguna kalau mentaliti masih kelas ketiga. Dan ya, GB memang sangat marah!

Thursday, October 14, 2010

Menjawab tugasan pertama setelah ditanda rakan blogger: Mahu tahu lebih tentang Bunga? Fatin Mraz, Ned, Aspen, Mas, Elyse, anda telah GB tag

Setelah kehilangan data...fail kad manila 80sen ini juga yang dicari akhirnya...
Panjangnya tajuk entri GB kali ini. Cik Fiza sudah tandakan (tag) GB. Jadi GB kenalah menjawabnya bukan?

(Struktur soalan telah dibahsuai sesuai dengan keindahan Bahasa Melayu sebenar sempena Oktober Bulan Bahasa Kebangsaan)

1. Apakah benda yang paling penting dalam hidup anda?
Kereta, netbook, kamera, telefon bimbit, pelembab bibir

2. Benda yang terakhir anda beli menggunakan duit sendiri?
Nescafe dalam tin perasa mocha dan latte

3. Dimanakah tempat anda ingin melangsungkan perkahwinan dan tema perkahwinan idaman anda?
Kawasan terbuka, berangin sepoi-sepoi bahasa, ada hijau-hijauan dan ada banyak bunga-bungaan.
Tema semestinya santai dan mesra.

4. Adakah anda sedang bercinta sekarang?
Ya

5. Berapa lama anda akan mencintai kekasih anda?
Sampai syurga - mudah-mudahan

6. Novel/buku/majalah yang terakhir anda beli?
Majalah Mingguan Wanita - belikan untuk bunda

7. Di manakah anda selalu berjumpa dengan kekasih anda?
Di dalam solat
8. Apakah nama penuh anda?
Gadis Bunga binti Ayahanda Gadis Bunga

9. Antara mak dan ayah mana yang anda lebih mesra?
Bunda

10. Namakan orang yang betul-betul anda jumpa dalam hidup anda?
Adakah soalan ini tertinggal perkataan penting yang membuatkan ayatnya kelihatan seakan aneh?

11. Adakah anda basuh baju anda sendiri?
Sudah semestinya

12. Di manakah tempat yang betul-betul anda mahu pergi?
Mekah, Switzerland, Kashmir, Jepun dan Alhambra

13. Pilih satu, peluk atau cium?
Atau

14. Beritahu 3 benda tentang orang yang tag anda?
Manis, lembut dan manja (mungkin)

15. 5 benda yang anda sayang sangat dalam hidup anda?
Kereta, stereng, kamera, telefon bimbit, kaca mata ungu gelap

16. 5 lagu yang anda suka dengar?
Lagu Cenderawasih - Kris
Untukmu Selamanya - Visa
Hazard - Richard Marx
Unbelievable - Craig David
Pemuja Rahasia - Sheila on Seven

17. Bilakah tarikh lahir anda dan di manakah anda menyambutnya tahun lepas?
25 Januari - tanya tarikh sahaja bukan?

18. 5 orang blogger yang anda mahu tag
19. Cerita sedikit tentang blogger pertama yang anda tag
Sahabat baik selamanya - cukuplah. :D

Wednesday, October 13, 2010

Retro Kembali Relevan

Sarapan besar. Malam baru makan semula. Rutin. :)
Siapa perasan yang banyak perkara sudah kembali retro sekarang?

Fesyen, mungkin. Tapi GB bukan pengikut aliran fesyen semasa, jadi GB tidak mungkin akan pakai seluar kaki kembang dengan kemeja kotak-kotak kalau alirannya kembali semasa. Tapi kalau baju kurung kain kapas yang ayu itu sudah pasti GB akan pakai (walau sekarang ini GB belum ada sepasang pun lagi baju kurung kain kapas).

Muzik. Sudah tentu. Halwa telinga makin mesra dengan irama berunsur retro. Sempena bulan Bahasa Kebangsaan ini, GB rajin mendengar radio Hot FM walau Bahasa Melayunya sama sekali tidak boleh digunakan sebagai rujukan pelajar Bahasa Melayu yang baru. (ketawa) 

Lagu yang paling GB gemar sekarang ini adalah: 
  1. Aizat - Sungai Lui. Terasa tebal benar retronya. 
  2. Kakanda Adinda - Atilia dan ah..siapa penyanyi lelakinya ya...? Tidak mengapalah...yang penting retro lagu itu sangat menawan. 
  3. Dan terbaru Pujaan Malaya dendangan Adzrine Adzhar (maaf kalau tersalah eja). Retronya kedengaran hampir asli.
  4. Dan lebih baru lagi, Kalau Berpacaran - Anna Raffali, Sohaimi Mior Hassan dan Altimet. Walau dicampur sedikit urban, tetapi retronya tetap ada. Malah sedap didengar.
P/S: Tapi ayahanda GB tetap dengar Klasik FM. Retro sampai bila-bila. (Senyum)

Tuesday, October 12, 2010

Yang hangit-hangit sahaja

Costus woodsonii
(gambar diambil di Taman Tasik Shah Alam)
Selepas semalam yang hangat, kelmarin sebenarnya....GB dihangitkan oleh beberapa insiden pula.

Ujian. 

Redha sahaja dan terima dengan tabah. Tetapi tetap ada pengajaran yang mesti diambil.

  • Pagi semalam cakera keras (hard disk) utama GB ada masalah (crash). Semua lukisan, rekabentuk, maklumat-maklumat projek, kuotasi (quotation) dan invois ada di dalamnya. Sempat selamatkan fail-fail berbentuk dokumen sahaja. Kebanyakan projek lain terutamanya dalam bentuk AutoCad dan Photoshop tidak dapat diselamatkan. Terduduk juga rasanya. 
  • Malamnya pula, pukul 10, sewaktu mahu pulang dari pejabat, kereta GB tidak dapat dihidupkan pula. Masalah bateri. Gelabah juga GB, sempat telefon ayah, adik, sepupu dan pekerja kontrak GB sebelum akhirnya GB hubungi sahaja pihak insurans kenderaan. Kasihan lihat pekerja-pekerja kontrak GB datang cuba membantu sampai sanggup keluarkan bateri dari kereta mereka tapi akhirnya mereka simpan sahaja semula semuanya sewaktu GB memberi isyarat 'tidak apa' kepada mereka. (Sewaktu itu GB dalam talian dengan orang dari pihak insurans). Dan 30 minit kemudian, kereta GB berjaya dihidupkan semula.
GB terima ini semua sebagai ujian Allah dan cabaran hidup. Pengajarannya terlalu banyak untuk GB.

P/S: Buat Cik Fiza dan Scha, dalam entri berikutnya GB akan lakukan tugasan yang telah anda berdua beri ya.  

Monday, October 11, 2010

Yang hangat-hangat sahaja

Ada sesiapa suka makan sate arnab (Oryctolagus spp)? (ketawa jahat)
(Location: Shah Alam Lake Garden, Shah Alam, Selangor, Malaysia)
Semalam 101010. Hangat dan mesra sahaja bunyinya kan?

Antara yang hangat pada 101010:
  • Banyak majlis kahwin. Antara yang paling hangat sudah tentulah majlis perkahwinan angkasawan pertama kita. Ada juga sahabat GB yang melangsungkan majlis pada hari itu tapi maaf sangat sebab GB tidak bisa hadir.
  • Paginya GB sempat beraktiviti berjalan pantas (brisk walking) di Taman Tasik Shah Alam bersama seorang teman. Walau sekadar berjalan tapi peluh banyak juga keluar dan terasa impak di kaki. Maksudnya menjadi jugalah. (Ketawa)
  • Kebetulan ada sambutan ulangtahun Shah Alam sebagai Bandaraya di taman tasik tersebut. Banyak aktiviti dianjurkan. Ada pertandingan memancing, memasak, jualan dan pameran bunga-bungaan dan ada juga arnab-arnab comel. (Gambar-gambar akan dikongsi dari semasa ke semasa kerana acara seperti itu membuatkan GB terlajak berjalan-jalan sambil mengambil gambar sampai bateri habis (ketawa))
  • Semalam GB ada menjemput sepupu-sepupu datang bertandang. Ada jamuan makan sedikit. Tujuan sebenarnya untuk menyambut hari jadi adik-adik GB yang jatuh pada 3 dan 9 Oktober. Terima kasih kepada mereka yang sudi hadir. (Rakan-rakan blog, maaf ya GB tidak jemput, sebab ini cuma jamuan kecil-kecilan sahaja. Lain kali GB akan jemput)
P/S: Panjang pula rasanya entri kali ini. Mungkin sebab GB menggunakan Bahasa Melayu yang betul. (ketawa). Tidak apalah. Oktober. (Senyum)

Saturday, October 9, 2010

Zul

Menyelami dunia semut

Zulkaedah sudah tiba. Syawal sudah berlalu. Tapi GB tetap dapat undangan rumah terbuka hari ini. Pergi sajalah...

Syawal 1431H tahun ini manis juga rasanya. Kerana dapat berjumpa dan bermesra dengan personaliti kegemaran GB. Hampir terberangan juga mahukan jodoh seperti beliau. GB kelihatan obses bukan? 

Tidak, GB tidak obses. Itu cuma impian. Kenyataan tidak akan menjadi tanpa berani bermimpi.

Selebihnya, Allah lebih mengetahui. (senyum)

P/S: Nanti kita semua akan beraya lagi. Siapa kata raya cuma setahun sekali? (senyum lagi)

Friday, October 8, 2010

Mari Mencintai Bahasa Kebangsaan Kita

Ada cadangan lain bagi menggantikan perkataan-perkataan ini?
(Gambar diambil di dalam tandas bangunan Faber Tower, Taman Desa)
Sempena menyokong Bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan, blog GB pun akan menggunakan bahasa kebangsaan sahaja.

Sepenuhnya. 

Sebagai tanda kasih kepada bahasa kita. Dan sebagai bukti yang GB adalah seorang gadis Melayu yang sayangkan bahasa kebangsaannya. Walau bahasa GB nanti tidak sehebat Ahmad Fedtri Yahya, tapi tidak salah mencuba kan?

Cintailah Bahasa Kita

P/S: Rasa seperti berada di zaman klasik pula. (Ketawa)

P/S 2: Aktiviti singgah dan komen dari blog ke blog (blogwalking) tidak dapat GB laksanakan buat masa ini kerana talian jaringan dalaman (internet) sangat mencemburui. GB akan mula berkunjung ke blog anda sebaik sahaja jaringan dalaman kembali cemerlang. Sekian. Terima kasih.

Thursday, October 7, 2010

Kenapa saya suka blog: Episode 5: Ismail Fitry

Water lettuce (Pistia stratiotes) is the most common, easy to find,
and very pretty aquatic plant you can have in your garden
Lama dah GB tinggalkan siri 'Kenapa saya suka blog ni' - cerita terakhir GB dulu pasal blog uncle Yunus Badawi.

Ok sekarang, jom kita sambung...

Kepada yang lahir hujung tahun 70-an dan awal tahun 80-an macam GB, rasanya blok blog tuan hamba Ismail Fitry ni mungkin akan jadi sangat dekat di hati...macam TV9. Boleh buat senyum sorang-sorang kalau baca sebab nostalgianye tu sangat sinonim dengan kita. Sebab apa tau? Baca berikutnya...
  • Zaman tu game paling best adalah brick games dan Moore Jutaria je...
  • Zaman tu duit syiling 1 sen cuma laku untuk bayar bil air je.... 
  • Zaman tu makanan paling mewah adalah KFC je...
  • Zaman tu yang sapa tak kenal Gaban, Suria Perkasa Hitam, McGyver?
  • Zaman tu sapa yang mengada-ngada taknak mengaku pernah baca komik Gila-gila, Bujal, dengan komik al-Arqam yang kartunnya kelessss gitu?
  • Zaman tu kalau outing naik bas sokmo nak ke mana-mana...
Dan banyakkkkk lagi dok ada.....!

Tak lupa jugak...cerita-cerita nostalgia beliau yang lawak tak ingat dan berjaya buat GB gelak besarrr punya kat opis.

Kalau GB...dah  tak mampu rasanya nak cerita semua sebab ingatan dah tak berapa tajam (padahal belum masuk 30 pun lagi huhuhu). Tapi kalau nak rasa terimbau kembali nostalgia lama, jenguk-jenguk le blog beliau tu. 

P/S: Budak-budak yang baru nak hidup pun boleh je baca blog beliau. Baru korang tau susah senang pahit manis hidup kitorang zaman dulu-dulu. Ini tidak...keje asyik nak mintak topap je! Huh!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...